Sabtu, 18 Jun 2011

Hukum Belajar Dan Mengajar 'Ilmu Ushuluddin


'AQIIDATUN NAJIIN ( SIRI 9 )



Syahdan ﴿ Bermula hukum pada belajar ‘ilmu Ushuluddin dan mengajar dia itu wajib pada Syara’ ertinya dituntut akan dia akan sebagai tuntut yang lazim tiada dimudahkan pada meninggalkan dia, kemudian maka dibahagi akan wajib pada Syara’ itu atas dua bahagi :

Pertama : Wajib yang fardhu ‘ain pada belajar . Bermula kadar yang wajib fardhu ‘ain mengetahui dia itu iaitu barang yang mengeluarkan mukallaf daripada taqlid kepada tahqiq dan iaitu mengetahui yang wajib bagi Allah dua puluh dengan tafshil dan yang mustahil atasNya dua puluh dengan tafshil satu-satunya dengan dalil dan jikalau dengan dalil ijmali sekalipun seperti isbat ‘aqaaid yang dua puluh itu dengan dalil baharu alam ini serta lemah ia daripada menetapkan dalil itu daripada pihak baharukah atau daripada pihak imkankah atau pihak keduanya . Dan lemah pula hendak menolakkan syubhah yang datang ia hendak membinasakan dalil yang ia mengambil dalil itu .

Maka dalil ijmali itu yang dapat kebiasaan manusia menetapkan dia seperti gembala kambing dan gembala unta dan orang dusun adalah mereka itu apabila melihat suatu yang ajaib berkata mereka itu : Subhaanallah, siapa yang menjadikan ini, ya’ni tiada yang menjadikan dia melainkan Allah, maka mengambil dalil atas yang mengadakan alam ini Allah Ta‘ala . Seperti ditanya seorang : Dengan apa kamu kenal Tuhan kamu ? Katanya : Dengan tiada dapat maksud kami akan barang yang kami hendak .

Dan lagi seperti hikayat, kata Ashmu‘i : Keluar aku pada satu hari daripada masjid Jami’, ya’ni masjid tempat orang berhimpun sembahyang Juma‘at pada negeri Bashrah iaitu satu qariyah hampir negeri Baghdad . Maka ada aku berjalan pada tengah jalan berjumpa dengan seorang A’rabi, ya’ni Badwi yang mendiami dusun, menunggang ia di atas unta baginya menyangkut ia akan pedang pada bahunya dan pada tangannya anak panah . Maka memberi salam ia akan daku serta berkata ia akan daku : Siapa kamu ?

Maka berkata aku : Daripada anak cucu Ashmu‘i .

Maka berkata ia : Dari mana kamu ?

Maka berkataku : Datang daripada tempat membaca Kalam al Rahman .

Maka berkata ia : Adakah bagi Rahman itu kalam yang dapat dibaca orang akan dia ?

Maka jawabku : Bahkan .

Maka katanya : Bacakan olehmu atasku suatu daripadanya .

Maka kataku : Turun olehmu daripada unta kamu dan hendaklah membaikkan adab . Maka lalu turun ia daripada untanya dan duduk ia

Maka aku bacakan shurah Adz Dzaariyaat hingga sampai kepada firman Allah Ta‘ala :

  ﺗﺑﺻﺭﻭﻥ   ٲﻓﻼ   ۚ  ٲﻧﻔﺴﻜﻡ   ﻓﻰ   .  ﻟﻟﻤﻮﻗﻧﻴﻥ   ﺀﺍﻴﺖ  ﭐﻷﺭﺽ   ﻓﻰ   ﴿

Ertinya : “ Dan di dalam bumi itu beberapa tanda Allah yang menunjukkan wujud Allah yang memberi yakin bagi orang yang mentauhidkan Dia dan pada diri kamu itupun ada dalil yang menunjukkan ada Tuhan yang memerintahkan kamu, maka adakah tiada kamu lihat akan dia ? Ya’ni hendaklah kamu ketahui akan dia ” .
( Shurah Adz Dzaariyaat : Ayat 20 – 21 )

Maka kata A’rabi : Telah benar Rahman itu berfirman Ia . Maka tahi unta itu menunjukkan ada unta dan dan bekas telapak kaki itu menunjukkan ada orang yang berjalan . Maka langit itu ada buruj tempat berjalan bulan dan bintang dan matahari dan bumi mempunyai jalan dan laut mempunyai ombak . Tiadakah menunjukkan atas Tuhan yang lathif hingga akhir hikayat .

Dan tiadalah berhajat hamba sebutkan hingga tamam hikayat itu kerana maksudnya hendak menyatakan dalil ijmali itu banyak orang yang mendapatkan dia hingga segala awam al muslimin pun dapat .

Maka hasilnya bahawasanya fardhu ‘ain atas tiap-tiap seorang yang mukallaf itu mengetahui dalil ijmali, maka lepaslah ia daripada taqlid dan masuklah ia kepada tahqiq . Maka dalil ijmali itu dikatanya : Tanda ada Allah itu wujud alam atau alam ini . Maka tiap-tiap ditanya daripada dalil satu-satu shifat daripada shifat dua puluh ini, maka dijawabnya, maka dijawabnya alam ini atau makhluq ini dalilnya padahal lemah ia daripada mentaqrirkan dalil dan lemah daripada menghuraikan syubhah .

Dan kedua : Wajib kifaayah iaitu barang yang kuasa pada mentahqiqkan masalah dan kuasa menetapkan dalil seperti katanya : Bermula alam ini baharu dan tiap-tiap yang baharu itu ada yang membaharukan dia, atau dikatanya : Alam ini mungkin dan tiap-tiap mumkin itu ada baginya yang membuatkan dia . Maka mengetahui akan yang demikian itu fardhu kifaayah .

Wajib tiap-tiap satu tempat ada seorang yang boleh menetapkan dalil dan boleh menghuraikan syubhah ahli al bid‘ah yang mendatang ia akan dia supaya hendak menolakkan dalil kita . Maka wajib bahawa ada pada tiap-tiap masaafah qashar orang yang mengetahui dengan demikian itu dan dengan yang tinggal daripada ahkam yang Syar‘iyyah . Dan pada tiap-tiap masaafah ‘adawi seorang qadhi kerana banyak berbantahan-bantahan . Maka jika ada seperti demikian itu, lepaslah daripada berdosa isi negeri itu dan jikalau tiada seorang yang mengetahui akan demikian itu nescaya berdosa sekeliannya .  

Maka tatkala itu, wajiblah sekelian ahli negeri itu belajar hingga dapat seorang yang dapat mengetahui akan yang tersebut itu serta bahawa menghuraikan syubhah yang didatangkan oleh orang yang mulhid berkata ia bahawasanya ‘aradh bagi alam ini baharu, tetapi tiada awalnya dan seumpama yang demikian itu daripada perkataan orang yang sesat seperti syubhah yang didatangkan oleh Mujassimah yang berkata oleh mereka itu Allah Ta‘ala itu berdiri dengan sendiri itu jisim, maka jadilah Allah itu berjisim . Maka adalah perkataan itu sesat . Maka adalah yang demikian itu berkehendak kepada ada orang yang menolakkan perkataan perkataan yang sesat itu dengan mendirikan dalil yang boleh mengalahkan dia .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan