'AQIIDATUN NAJIIN ( SIRI 10 )
Dan seperti barang yang dihikayatkan, bahawasa ada satu Dahri datang ia pada zaman Hammad, guru Imam Abu Hanifah dan menuntut ia akan segala ‘Ulama΄ hendak berhujjah ia dengan kata nya : Kata kamu Allah itu ada, manakala ada, betapa tiada tempatnya? Maka tiada suatu yang maujud melainkan ada tempatnya.
Maka beberapa mereka itu yang sudah dikalahkan oleh Dahri, maka bertanya ia kepada manusia : Adakah lagi tinggal daripada ‘Ulama΄ kamu seorang ?
Maka sahut orang banyak : Ada lagi iaitu Hammad .
Maka berkata Dahri : Hai Khalifah, hadirkan olehmu akan dia pada aku supaya berhujjah ia sertaku .
Maka menyeru Khalifah akan Hammad, maka berkata Hammad : Beri tangguh olehmu akan daku malam ini .
Maka tatkala berpagi-pagi datang Abu Hanifah dan adalah ia lagi kecil, maka melihat ia akan gurunya yang bernama Hammad itu di dalam dukacita yang sangat . Maka bertanya Abu Hanifah akan dia apa sebab daripada percitaan ini, maka berkata ia : Betapa aku tiada dukacita dan telah menyeru oleh Khalifah akan daku berhujjah serta Dahri dan telah menghimpunkan segala ‘Ulama΄ dan aku bermimpi semalam di dalam tidurku akan suatu penglihatan yang sangat mungkar . Maka berkata Abu Hanifah : Apa ia ?
Katanya : Aku lihat akan satu dusun yang sangat luas lagi berhiasan dan ada padanya satu pohon kayu yang beruah, maka keluar daripada satu penjuru kampung itu babi, maka memakan ia akan buah kayu itu hingga habis dengan daunnya dan cawangnya hingga tinggal batang semata-mata, maka keluar daripada umbi pohon kayu itu satu harimau, maka ditangkapnya akan babi itu lalu mati itu .
Maka berkata Abu Hanifah : Bahawa Allah Ta‘ala mengajar ia akan daku ‘ilmu ta’bir mimpi ini baik bagi kita dan jahat bagi seteru kita, maka jikalau engkau izinkan bagiku kepada ta’bir akan dia . Maka berkata Hammad : Ta’birkan olehmu ya Nu’man, ertinya nama Abu Hanifah itu, Nu’man .
Maka berkata ia : Bermula dusun yang luas lagi berhiasan itu, agama Islam . Dan pohon kayu yang berbuah itu ‘Ulama΄ . Dan usulnya yang tinggal itu engkau . Dan babi itu, Dahri . Dan harimau yang membunuhkan babi itu, aku . Maka berjalanlah engkau dan aku serta engkau, maka dengan berkat himmah engkau dan berkat hadrat engkau, aku berkata-kata sertanya dan aku lazimkan hujjahnya .
Maka sukalah Hammad itu dan berdiri keduanya ketika itu jua kepada masjid Jami’ . Maka datang Khalifah dan berhimpunlah segala manusia pada majlis Hammad itu, ya’ni majlis Hammad yang hadir itu dan berdiri Abu Hanifah di hadapan gurunya, di bawah sarirnya memegang ia akan kaus gurunya dan kaus dirinya .
Maka datang Dahri dan naik ia atas mimbar dan berkata ia : Siapa yang menjawab akan soalku ini ?
Maka sahut Abu Hanifah : Apa perkataan kamu itu, nyatakan olehmu, maka orang yang mengetahui dijawabnya akan pertanyaan kamu itu .
Maka berkata Dahri : Siapa engkau hai kanak-kanak ? Engkau berkata-kata sertaku beberapa orang yang mempunyai kemegahan dan orang yang tua-tua dan serban yang besar-besar dan yang mempunyai kain yang kemegahan dan tangan baju yang luas-luas, lemah mereka itu daripada aku . Maka betapa engkau berkata sertaku padahal kecil umur engkau dan hina diri kamu .
Maka berkata Abu Hanifah : Tiada menaruh oleh Allah Ta‘ala akan ketinggian dan kebesaran itu kepada orang yang mempunyai serban yang besar-besar dan kain yang kemegahan dan tangan baju yang luas tetapi ditaruh akan dia bagi ‘Ulama΄, seperti firman Allah Ta‘ala :
﴾ ﺪﺭﺟﺖ ﭐﻟﻌﻟﻢ ٲﻭﺗﻭﺍ ﻭﭐﻟﺬﻴﻥ ﴿
“ Dan segala mereka yang didatangkan bagi mereka itu akan ‘ilmu itu beberapa darjat ” .
( Shural Al Mujaadalah : Ayat 11 )
Maka berkata Dahri itu : Engkau yang menjawab akan soalku ?
Maka kata Abu Hanifah : Bahkan, aku jawab akan soal engakau dengan taufiq Allah .
Maka berkata ia : Adakah Allah itu maujud ?
Maka jawab Abu Hanifah : Bahkan .
Berkata ia : Dimana Ia ?
Kata Abu Hanifah : Tiada ada bagiNya tempat .
Kata Dahri : Betapa ada maujud, tiada ia tempat baginya ?
Kata Abu Hanifah : Bagi ini dalil pada dirimu .
Katanya : Dimana ia dalilnya ?
Kata ia : Iaitu tiadakah pada diri kamu nyawa ?
Maka katanya : Bahkan .
Kata Abu Hanifah : Di mana tempat roh kamu itu ? Di kepala kamukah ? Atau di perut kamukah ? Atau di kaki kamukah ?
Maka tercengang ia .
Kemudian menyeru ( menyebut ) oleh Abu Hanifah akan air susu, buat dalil yang lain pula, dan berkata ia : Tiadakah pada air susu ini minyaknya ?
Kata Dahri : Bahkan .
Kata Abu Hanifah : Di mana tempatnya ? Di ataskah ? Atau di bawahkah ?
Maka tercengang pula Dahri .
Maka kata Abu Hanifah : Seperti tiada dapat bagi roh itu tempat pada tubuh dan tiada pula bagi minyak itu tempat pada air susu itu . Demikian lagi tiada dapat pula bagi Allah itu di dalam kaun ini tempatnya .
Kata Dahri : Maka apa ada dahulu daripada Allah dan apa kemudian daripadaNya ?
Kata Abu Hanifah : Tiada suatu dahulu daripadaNya dan tiada suatu kemudian daripdaNya .
Kata Dahri : Betapa tasawwur ada suatu yang maujud padahal tiada suatu dahulunya dan tiada suatu kemudiannya ?
Kata Abu Hanifah : Baginya itu dalil pada badan kamu pula .
Kata ia : Maka apa ia ?
Katanya : Apa dahulu daripada ibu tangan kamu dan apa kemudian daripada jari kelingking kamu ?
Maka katanya : Tiada suatu dahulu daripada ibu tanganku dan tiada suatu kemudian daripada kelingkingku . Maka kata Abu Hanifah : Demikian lagi Allah Ta‘ala, tiada suatu dahulu daripadaNya dan tiada suatu kemudian daripadaNya.
Kata Dahri : Tinggal lagi pada aku satu pertanyaan .
Katanya : Nyata olehmu .
Abu Hanifah jawab : Insyaa Allaahu Ta‘ala .
Katanya : Apa kelakuan Allah sekarang ini ?
Kata Abu Hanifah : Bahawasanya engkau ini terbalik pekerjaan engkau, sayugianya bahawa adalah yang menjawab itu di atas mimbar dan yang bertanya itu di bawah mimbar . Maka manakala engkau turun, aku naik nescaya aku jawab akan soal engkau .
Maka turun ia dan naik Abu Hanifah atas mimbar . Maka tatkala duduk ia atas mimbar, maka bertanya Dahri, maka jawab Abu Hanifah akan tanyanya dengan katanya : Kelakuan Allah sekarang ini menggugurkan yang bathil seumpama kamu daripada aku dari bawah ke atas . Maka lalu kalah ia dan putus hujjah .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan